Thursday, June 3, 2010

CUTI PERTENGAHAN PENGGAL PERTAMA

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Esok kita akan mula bercuti. Apa sebenarnya yang seronoknya cuti? Cuti belajar? Cuti buat kerja sekolah?

Semasa cuti apa sahaja aktiviti yang tidak dapat dibuat semasa persekolahan dapat kita lakukan. Contohnya, berjalan-jalan bersama-sama keluarga ke tempat-tempat menarik, menziarah keluarga dekat dan jauh, menghadiri jemputan kenduri dan macam-macam lagi.

Sesetengah orang telah merancang waktu cuti mereka sejak awal lagi. Ada yang ingin duduk di kampung menemani datuk dan nenek mereka. Ada yang telah mendaftar menghadiri kem-kem motivasi belajar atau kem ibadat. Itu bergantung kepada persetujuan ibu bapa mereka dan kesesuaian masa masing-masing.

Cuti sekolah juga kita dapat berehat di rumah dan melakukan aktiviti yang kita gemari seperti mengemas rumah, berkebun, menonton televisyen, melukis dan lain-lain.

Alangkah baiknya jika kita juga sebagai murid dapat meluangkan masa menyiapkan kerja sekolah yang guru-guru kita berikan. Dengan itu tidaklah kita leka dan terlupa dengan status kita sebagai seorang murid yang masih memerlukan ilmu
bagi mempertingkatkan diri sendiri.

Bagi mengisi waktu cuti, pihak sekolah telah merancang aktiviti untuk calon-calon UPSR iaitu kelas tambahan. Kelas tambahan ini bertujuan membantu murid mempertingkat kemahiran menjawab soalan dan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang dapat dikesan sepanjang 5 bulan persekolahan. Guru-guru berkorban masa dan tenaga semata-mata untuk kecemerlangan murid dan sekolah. Maka, untuk memenuhi tanggungjawab kita sebagai seorang murid, hadirlah untuk kelas tambahan yang telah dirancang.

Akhir kata, marilah kita sama-sama seimbangkan masa cuti kita. Manfaatkan masa kita sebaiknya.

SELAMAT BERCUTI SEMUA.